Menghormati perbezaan pendapat berkonotasi positif

Posted by Aspirasi UKMKL Monday, February 7, 2011

Oleh Mohd. Shauki Abd. Majid
Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia
Gagasan 1Malaysia yang cuba direalisasikan sebagai wadah utama pembangunan negara menuju tahap negara maju pada tahun 2020 adalah sesuatu yang bertepatan dengan kehendak Islam. Sifat kehidupan manusia yang diciptakan oleh Allah SWT secara berbeza keturunan, etnik, budaya dan latar belakang secara alami adalah cabaran yang wajib manusia laksanakan untuk mendekatkan diri antara satu sama lain.
Manusia perlu berkongsi aspirasi dan keperluan, dan sebahagian keperluan itu tidak terdapat dalam semua orang, maka dari situlah proses perkenalan, perundingan dan persefahaman menentukan arah yang perlu dilaksanakan. Hal ini adalah selaras dengan kandungan al-Quran yang menjadi pegangan dan keyakinan utama masyarakat Islam.
Terdapat beberapa ayat al-Quran yang menggambarkan unsur-unsur pluralisme, yang mana apabila kita mengkajinya secara teliti, ia memanglah mengharapkan akan terbentuknya hubungan antara manusia yang berbeza itu dalam satu bentuk kesatuan. Inilah lambang sebuah kehidupan yang harmoni dan bermakna dalam tamadun sejagat. Dalam hal ini Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujurat ayat 13.Ayat tersebut menjelaskan bahawa Allah SWT telah menciptakan makhluknya, laki-laki dan perempuan dan menciptakan manusia berbangsa-bangsa untuk menjalin hubungan yang baik. Umat Islam dituntut bukan sekadar menjalinkan hubungan, tetapi juga turut menyumbang persefahaman dan tindakan bersama.
Jadi jelas al-Quran memberikan kita alasan yang rasional penciptaan manusia dengan beragam bangsa, bahasa, suku dan budaya.
Dalam Surah Hud ayat 118 Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah ia menjadi umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.”
Kalau Tuhan mahu, dengan mudah sekali akan menciptakan manusia semua dalam satu kelompok, monolitik dan satu agama, tetapi Allah tidak menghendaki hal tersebut. Tuhan ingin memberi cabaran kepada manusia agar membina realiti kehidupan melalui perbezaan dan perkongsian dalam satu matlamat yang jelas, iaitu tata kehidupan sejahtera dan harmoni. Ini kehendak Tuhan. Atas dasar inilah orang berbicara tentang pluralisme.

Berbicara tentang pluralisme ertinya bukan satu, tetapi banyak. Dan banyak itu ertinya berbeza, kerana tidak ada yang sama. Maka kita haruslah menghargai pendapat orang lain, kerana dia berbeza dengan kita. Itulah yang kita inginkan di Malaysia ini, iaitu adanya hormat terhadap pendapat orang lain, dan inilah erti demokrasi.

Kita tidak memaksakan kehendak satu kelompok kepada kelompok yang lain. Tetapi kita saling berinteraksi dengan baik. Saling menghormati pendapat orang lain.

Demikian juga dikalangan Ahlil Kitab yang ada hubungan erat dari segi ideologi, tauhid atau monoteisme. Di dalam al-Quran dalam surah Al-’Ankabut ayat 46, mengharuskan kita berhubungan dengan baik terhadap mereka
Oleh sebab itu dalam al-Quran juga kita dapati bahawa kedamaian adalah salah satu tujuan dari kehidupan manusia di bumi ini. Kalau manusia sentiasa berbeza pendapat, maka sesungguhnya yang diinginkan Tuhan adalah perbezaan yang berkonotasi positif, bukan sebaliknya. Itulah sebabnya Tuhan menggunakan kata mukhtalifin (Qs Hud (11) : 118), yang dalam bahasa Arab bererti perbezaan yang berkonotasi positif.Tidak menggunakan kata shiqaq yang dalam bahasa Arab bererti perbezaan yang berkonotasikan negatif. Sehingga shiqaq juga biasa digunakan untuk hubungan yang tidak harmonis antara suami isteri.
Jadi perbezaan pendapat yang membawa kepada pertikaian itulah yang dinamakan shiqaq, sedangkan khilaf adalah perbezaan pendapat yang didasari atas saling hormat-menghormati.

Jadi jelas, nilai-nilai pluralisme dalam Islam terdapat dalam al-Quran. Kadang-kadang hanya kerana sikap fanatisme manusia yang membawa dia bukan kepada khilaf, tetapi kepada shiqaq. Bahkan realiti yang kita temukan dalam sejarah perkembangan peradaban kemanusiaan, banyak sekali perbezaan pendapat yang mengarahkan kepada pertikaian, pembunuhan dan salah faham yang merugikan diri sendiri.

Kita harus mengembangkan nilai-nilai pluralisme ini untuk menghormati pendapat orang lain dan tidak memaksakan pendapat kita kepada orang lain. Justeru orang lain juga memiliki keyakinan akan pendapatnya dan hal ini harus kita hormati. Oleh kerana itu dalam al- Quran jelas sekali disebutkan “la ikraha fid- din,” tidak ada pemaksaan dalam agama.Tidak boleh memaksakan kehendak kita terhadap orang lain. Berilah kebebasan orang lain untuk mengutarakan pendapatnya sebagaimana kita menginginkan kebebasan itu. Inilah inti keadilan.

Kita kembangkan budaya ini (inclusivisme), dan ini sesuai dan sejajar dengan saranan al-Quran. Mari kita sampaikan kepada saudara-saudara kita, apakah ia Muslim atau bukan Islam bahawa Islam pada hakikatnya sama sekali tidak ingin memaksakan pendapatnya kepada umat lain, dan sangat menghormati perbezaan – kerana itulah tujuan penciptaan Allah SWT terhadap kita semua.

0 comments

Post a Comment

ASPIRASI UKM KL

Aspirasi merupakan satu pertubuhan yang ditubuhkan di atas kesedaran Mahasiswa untuk terus mendokong Aspirasi Universiti. Membawa mahasiswa ke arah Kecemerlangan akademik dan sahsiah diri melalui semangat serta ideology yang dibawa selaras dengan Misi, Visi dan Matlamat Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pengumuman

Selamat menjalani peperiksaan pertengahan semester kepada semua Pelajar Kampus KL. Pastikan anda membawa semua barang yang berkaitan untuk peperiksaan seperti Kad Matrik, Pen, Pensil 2B, kalkulator dan pemadam. Semoga semua berjaya dalam peperiksaan